Sudah beberapa jam si pengembara  berjalan kaki memerhatikan pemandangan indah musim bunga di kawasan  perkampungan itu. Bunga-bungaan sedang mekar, unggas dan serangga yang  berterbangan ke sana dan serata halaman rumah yang cantik dihiasi  kuntuman bunga amat menarik perhatian pengembara muda itu.  Tetapi perjalanan yang jauh dan matahari yang sedang terik menyebabkan  pemuda yang cintakan keindahan alam itu mula berasa letih. Tekaknya  kering, sedangkan pengembaraannya masih panjang lagi.
  Lantas pemuda itu memutuskan untuk pergi ke sebuah rumah kecil di sebuah  ladang di tepi jalan yang sedang disusurinya itu. Seorang budak  perempuan membuka pintu rumah yang diketuknya tadi. Wajahnya comel.  Pemuda itu menceritakan yang dirinya kehausan, dia berharap budak  perempuan itu dapat memberikannya segelas air. Budak perempuan itu  bergegas ke dapur dan sebentar kemudian kembali mendapatkan pemuda  tersebut.  Dia tidak membawa segelas air, sebaliknya segelas susu kerana dia tahu  pemuda tersebut bukan sekadar dahaga tetapi juga memerlukan tenaga untuk  meneruskan pengembaraannya.
  "Berapa harga susu ini?" tanya pemuda itu selepas menghabiskan susu  tersebut.  Jawab budak perempuan itu, "Oh, percuma! Tak perlu bayar. Emak dan ayah  telah mengajar saya supaya jangan meminta sebarang balasan terhadap apa  juga kebaikan yang kita lakukan".
  Pengembara muda itu tersentuh hati dengan jawapan tersebut.
 "Kalau  begitu, saya hanya dapat mengucapkan terima kasih sahaja,"kata pemuda  tersebut, sambil disambut dengan senyuman dan anggukan budak perempuan  tersebut.  Sifat mulia budak perempuan itu memberikan kesan yang mendalam kepada  pemuda berkenaan. Kejujuran budak itu dan keengganannya menerima  sebarang bayaran, walaupun dirinya sendiri miskin, sering saja bermain  dalam fikiran pemuda tersebut.
  Tahun bersilih berganti, budak perempuan itu yang kini berusia 20-an,  diserang penyakit kronik. Dia dihantar ke sebuah hospital yang terkenal  di tengah kota untuk diperiksa oleh doktor pakar dan seterusnya  menjalani pembedahan. Seorang doktor dipanggil.  Sejurus melihat wajah gadis itu dan alamat tempat tinggalnya, doktor itu  segera terkenang saat dia meneguk segelas susu suatu ketika dahulu.  Tidak lain tidak bukan, inilah budak perempuan yang pernah memberinya  segelas susu dan kemudiannya berkata,
" Emak dan ayah telah mengajar saya  supaya jangan meminta sebarang balasan terhadap apa juga kebaikan yang  kita lakukan,".  Kini masanya untuk membalas jasa. Doktor itu melakukan segala yang  terdaya untuk menyelamatkan gadis tersebut. Si gadis ditempatkan di wad  untuk beberapa lama. Pembedahan dilakukan dan penyakit si gadis berjaya  diubati.  Kini bayaran perlu dikenakan kepadanya. Bil rawatan ditunjukkan kepada  doktor itu untuk pengesahan. Doktor tersebut menyelaknya sehelai demi  sehelai. Dia memerhatikan setiap angka yang tercatat pada bil tersebut,  kemudian menulis sesuatu di bucu helaian terakhirnya. Setelah itu dia  menurunkan tandatangannya. Bil itu dihantar ke alamat yang tertera,  iaitu sebuah rumah kecil di pinggir ladang.  Gadis tersebut menggeletar sebaik menerima bil tersebut. Helaian demi  helaian dibeleknya, ternyata jumlahnya terlalu besar. Dia tidak mampu  membayarnya.
 Walau si gadis bekerja sepanjang hayat sekalipun, belum  tentu dia dapat membayar bil yang dikenakan itu.  Jumlah-jumlah yang menakutkan terus terpapar, hinggalah ke helaian  terakhir apabila si gadis membaca satu catatan ringkas di bucunya.  Tulisan itu berbunyi?
 "Sudah Dibayar Dengan Segelas Susu."
    Sumber Penulis:Dr Howard Kelly
  Artikel ini adalah pengalaman sebenar Dr Howard Kelly (1858-1943), salah  seorang daripada empat doktor yang mengasaskan Universiti John Hopkins.  Amerika Syarikat.








Tiada ulasan:
Catat Ulasan