
PARA PENYELIDIK dan saintis di  Universiti New England, New South Wales, Australia, tergamam sebaik  sahaja melihat beberapa tengkorak dan tulang aneh yang dijumpai  tersembunyi di gua Liang Bua, Kepulauan Flores, pada 2003.
Dengan penuh kehairanan, mereka  meneliti tengkorak misteri yang ditemui bersama fosil tikus raksasa,  komodo dan gajah kecil sepanjang kerja² arkeologi di gua itu. Ini kerana  bentuk tengkorak itu sama seperti tengkorak manusia moden tetapi  saiznya lebih kecil.
Kajian lanjut kemudiannya  mendapati bahawa tengkorak dan tulang itu berasal daripada manusia purba  yang digelar sebagai ‘homo floresiensis’ yang wujud kira-kira 13,000  tahun lampau. Seterusnya penemuan itu telah mengundang pelbagai  persoalan misteri mengenai kemungkinan wujudnya pelbagai spesies manusia  aneh pada zaman dulu, yang bentuk fizikal mereka adalah berlainan sama  sekali dengan anatomi manusia moden (digelar homo sapiens) pada hari  ini.
Sebenarnya, tengkorak dan tulang  homo floresiensis yang turut digelar sebagai ‘Hobbit’ itu bukanlah  laporan penemuan pertama membabitkan tengkorak dan kerangka aneh yang  dijumpai di seluruh dunia. Laporan mengenai penemuan tengkorak yang  berbentuk pelik dan berlainan dengan tengkorak manusia moden, sudah mula  dilaporkan sejak ratusan tahun lalu sekali gus mencetuskan pelbagai  misteri dan enigma yang tidak berkesudahan sehingga kini.
Pelbagai teori dikemukakan  menerusi penemuan kerangka dan tengkorak aneh berkenaan antaranya adalah  tengkorak dan fosil yang dijumpai itu bukanlah milik manusia tetapi  meruapakan tinggalan makhluk asing yang sudah mati. Teori lain pula  menyokong dakwaan bahawa wujudnya pelbagai spesies manusia yang  berlainan bentuk fizikal di dunia ini pada zaman purba tetapi akibat  sebab tertentu spesies itu sudah pupus dan meninggalkan manusia daripada  jenis homo sapiens saja pada masa kini.
Kepercayaan mengenai wujudnya  spesies manusia aneh pada zaman purba itu disokong pula dengan cerita  legenda penduduk setempat, contohnya penduduk Pulau Flores percaya  rangka homo floresiensis yang dijumpai pada 2003 adalah makhluk kerdil  berbulu ‘Ebu Gogo’ yang mendiami pulau itu pada zaman purba.
Rekod penemuan paling aneh  mungkin berlaku sekitar 1800an apabila sebuah rangka dan tengkorak  misteri ditemui tersembunyi di sebuah makam kuno dekat kota Sayre,  Bradford County, Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS).
Tidak seperti tulang belulang  manusia homo sapiens pada hari ini, kerangka dan tengkorak yang ditanam  pada kedalaman 1200 kaki itu bertubuh besar, tinggi malah paling  mengejutkan adalah di bahagian kening tengkorak berkenaan terdapatnya  sepasang tanduk!

Pada 1888 pula, tujuh kerangka  dalam posisi duduk ditemui di sebuah kubur di Clearwater, Minnesota, AS.  Tengkorak makhluk yang dijumpai itu memiliki dua baris deretan gigi  pada rahang atas dan bawah. Selain itu, dahinya lebih pendek dan miring  jika dibandingkan dengan tengkorak manusia yang lazim pada masa  sekarang.
Meniti masa² mendatang, sebuah  lagi tengkorak aneh ditemui pada 1911 di Lovelock, Nevada, AS apabila  pekerja yang sedang melakukan penggalian di kawasan itu secara tidak  sengaja menemui mumia berbentuk menyerupai tubuh manusia.
Bagaimanapun, mumia itu bertubuh  gergasi malah masih terdapat sisa rambut berwarna merah di kepalanya.  Di kalangan penduduk setempat, mumia itu dikaitkan dengan legenda kuno  suku Indian Paiute yang menceritakan wujudnya manusia gergasi berambut  merah iaitu ‘Si-te-cahs’ dan gergasi itu menjadi musuh suku Indian di  daerah berkenaan.
Sebuah tengkorak aneh juga  ditemui di Chihuahua, Mexico pada 1930, di mana bahagian belakang  tengkorak itu melebar sedangkan rongga matanya besar. Akhir 1999, hasil  pengujian DNA mendapati tengkorak itu adalah daripada jenis manusia.
Dua belas tahun lalu,  penyelidik, Robert Connolly tampil mengemukakan foto tengkorak aneh  berbentuk lonjong yang ditemui di Nazca, Peru di mana kawasan gurun itu  juga adalah salah satu lokasi misteri yang memiliki ratusan lukisan  raksasa aneh di permukaan tanahnya.
Tengkorak itu dirakamkan oleh  Robert Connolly dikatakan sudah mencapai usia puluhan ribu tahun. Lelaki  itu turut melaporkan penemuan kerangka aneh lain yang bentuknya sama  dengan manusia moden kecuali tengkorak kepalanya besar pada bahagian  cranium manakala rongga matanya lebih lebar. Ada pihak yang mempercayai  bahawa bentuk aneh pada tengkorak itu dilakukan menerusi proses primitif  ‘mengikat tengkorak’ di mana seseorang itu menekup kepalanya dengan  ketat menggunakan pakaian atau alat tertentu selama tempoh yang amat  lama. Proses itu menyebabkan kepala akan membesar mengikut bentuk alat  berkenaan, sama seperti amalan kaum Padaung di sempadan Myanmar dan  Thailand yang memanjangkan leher mereka dengan melilit besi di leher  masing-masing terus menerus.

Tengkorak aneh juga dilaporkan banyak  ditemui di gua-gua sekitar gunung kapur Filipina, antaranya di Bohol,  Pergunungan Palaupau, Sumilio, Bukidnon dan pada beberapa tempat di  Agusan.Tengkorak-tengkorak ini masing-masing hanya memiliki satu rongga  mata di bahagian dahinya.
Pihak berkuasa Filipina pada  Februari 2002 menyatakan bahawa rongga mata tersebut terbentuk secara  semulajadi tetapi kenyataannya adalah tidak ada lagi sepasang rongga  mata sebagaimana lazimnya manusia biasa selain hanya terdapat satu  sahaja di bahagian dahinya. (Wallahualam, belum dapat disahihkan)
Sepanjang laporan penemuan pelbagai tengkorak dan kerangka aneh berkenaan, ada juga pihak tertentu yang sengaja mengada-adakan cerita kononnya tengkorak misteri sudah dijumpai di sesuatu tempat. Antaranya laporan penemuan gambar rangka manusia gergasi di Arab Saudi dan gambar berkenaan tersebar luas menerusi internet sejak beberapa tahun lalu. Bagaimanapun, siasatan mendapati gambar rangka dan tengkorak berkenaan adalah palsu dan dibuat menggunakan perisian komputer iaitu Photoshop.
FAKTA
Teori mengenai penemuan tengkorak aneh- Wujud spesies manusia aneh yang berbeza keadaan fizikal dengan manusia homo sapiens, pada zaman purba.
 - Tengkorak aneh itu dapat dibuat menggunakan proses primitif ‘mengikat tengkorak’.
 - Ada gambar tengkorak adalah palsu dan dibuat menggunakan komputer dan ceritanya diperbesarkan.
 









Tiada ulasan:
Catat Ulasan