Satu ketika dahulu, ramai ragu-ragu  tentang kewujudan kaum A’ad seperti yang termaktub dalam al-Quran.  Ketika ayat mengenai kehancuran kaum A’ad diturunkan, ramai terkejut  dengan kedashyatan azab Allah terhadap kaum nabi Hud as tersebut. Namun,  rata-rata umat Islam ketika itu langsung tidak tahu-menahu mengenai  kaum yang disebut Allah swt sebagai kaum A’ad tersebut.
Begitu juga apa yang dialami  oleh kaum Yahudi yang menetap bersama-sama umat Islam di Madinah. Mereka  mendengar desas-desus turunnya ayat tentang kaum A’ad tersebut. Dalam  kitab suci mereka iaitu Taurat tidak langsung menceritakan kemusnahan  kaum A’ad sedangkan kaum-kaum lain seperti kaum Lut as, kaum Nuh as dan  sebagainya diceritakan dengan terperinci dalam kitab mereka. Berikutan  itu, kaum Yahudi terus menyebarkan fitnah bahawa kaum A’ad sebenarnya  tidak pernah wujud dan apa yang diberitakan dalam al-Quranul karim  hanyalah omongan kosong yang langsung tidak berfakta.
Ternyata orang Yahudi silap
Tahun  berganti tahun, abad berganti abad. Ramai orientalis mula datang ke  tanah arab untuk mengkaji dan menyelidik kitab suci al-Quran,  syair-syair dan cerita penglipur lara popular di tanah arab. Antara  orientalis paling popular yang pernah datang ke tanah arab adalah T. E.  Lawrence atau lebih dikenali dengan Lawrence of Arabia.
Lawrence of Arabia
Kepada  yang belum mengenali siapakah Lawrence of Arabia, beliau adalah  orientalis yang bertanggungjawab menghasut pemimpin tanah arab untuk  memberontak kepada kerajaan Turki Othmaniyyah sekitar tahun 1916-1918.  Disebabkan hasutan dan dokongan daripada Lawrence of Arabia tersebut,  tanah arab akhirnya bebas daripada menjadi jajahan Turki Othmaniyyah dan  King Saud diangkat menjadi pemimpin besar tanah arab. Kerajaan baru  yang ditubuhkan dikenali sebagai Arab Saudi. Dan kerajaan Arab Saudi  kekal memerintah tanah arab sehingga ke hari ini. Lawrence of Arabia  yang juga seorang Leftenan Kolonel tentera Diraja Britain meninggal  dunia pada 19 Mei 1935 akibat kemalangan jalan raya. Ketika itu beliau  berumur 45 tahun.
‘Jasa’ Lawrence of Arabia
Miskipun  Lawrence of Arabia boleh dikatakan musuh di dalam selimut kepada umat  Islam, namun jasanya kepada penemuan kota Iram yang dikatakan sebagai  kota kaum A’ad tidak boleh disangkal. Beliau adalah insan pertama  daripada Eropah yang sangat berminat dengan‘Lost City’ Iram. Beliau yang  hidup dengan cara orang Badwi dan kemampuannya berkomunikasi dalam  bahasa Arab dengan fasih membuatkan cerita mengenai kemusnahan tamadun  kaum A’ad mudah sampai ke telinganya.
Kerana sangat berminat dengan  kisah kaum A’ad dan kotanya yang memiliki tiang-tiang yang besar,  Lawrence of Arabia telah mengelarnya dengan gelaran ‘Atlantis of the  Sands’.Seperti kota Atlantis, kota Iram juga kelihatan mustahil untuk  ditemui. Lawrence of Arabia juga tidak yakin apakah kota tersebut  benar-benar wujud. Baginya, ia sekadar cerita dogeng yang terkandung  dalam al-Quran.
Atlantis of the Sands
Sebenarnya,  apa yang ditulis oleh Lawrence of Arabia mengenai kota Iram yang  digelar beliau sebagai ‘the Atlantis of the Sands’ telah menarik minat  beberapa ahli arkeologi daripada Eropah kemudian harinya. Mereka adalah  Nicholas Clapp, George Hedges, Dr. Juris Zarins dan Ranulph Fiennes.
![]()  | 
| Lawrence of Arabia a.k.a T. E. Lawrence. | 
Pada akhir tahun 80-an  dan awal 90-an, keempat-empat individu ini telah berusaha untuk mencari  satu tamadun yang musnah sepertimana yang disifatkan dalam al-Quran.  Rujukan utama keempat-empat mereka adalah berdasarkan al-Quranul karim  dan cerita-cerita lisan daripada masyarakat Badwi.
Dr. Zarins yang bertindak  sebagai ketua arkeologi dalam pencarian tersebut telah bersama-sama  Nicholas Clapp dan George Hedges meminta NASA merakamkan gambar sekitar  tempat yang dimaksudkan mempunyai potensi untuk dikaitkan dengan kota  purba Iram yang telah musnah. Gambar tersebut telah dirakamkan  menggunakan satelit NASA,SPOT(Satellite Pour I’Observation de la Terre).  Rakaman tersebut mengejutkan mereka apabila ia jelas memaparkan laluan  unta dan sebuah runtuhan kota purba yang kelihatan mengelilingi sebuah  ‘runtuhan’ oasis.
![]()  | 
| Kota Iram yang dirakam oleh satelit NASA. | 
Namun laluan  perdagangan dan runtuhan kota purba tersebut tidak mampu dilihat jelas  pada mata kasar. Imej tersebut telah dirakamkan di Rub’al Khali, Oman  yang terletak di selatan Semenanjung Arab.
Pada 1992, eskavasi telah  dimulakan. Daripada hasil penemuan arkeologi, mereka bersepakat bahawa  ia adalah kota Iram yang musnah seperti yang dimaksudkan dalam al-Quran  berdasarkan pentarikhan karbon menyatakan ia dibina sekitar 6,000 tahun  sebelum masihi. Menurut mereka lagi, kota yang ditemui itu adalah salah  satu kota yang dimiliki oleh kaum A’ad dan banyak lagi yang tenggelam  dalam ‘lautan’ pasir.
![]()  | 
| Kota purba Iram menurut gambaran seorang pelukis. | 
Keajaiban Al-Quran
Terdapat  beberapa persamaan hasil penemuan arkeologi dengan ayat-ayat Allah swt  yang menceritakan kisah kaum A’ad dan nabi Hud as. Antaranya adalah  berkenaan dengan pembinaan tiang-tiang yang sangat tinggi yang mana  tidak pernah dibina oleh sesiapa pun sebelumnya.
1. Tiang-tiang tinggi
Dalam al-Quran ada menyebut tentang kota Iram yang disifatkan mempunyai tiang-tiang yang tinggi,
6. Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum A'ad?
7. (iaitu) penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi
8. yang belum pernah dibangunkan (suatu kota) seperti itu, di negeri-negeri lain,
(Surah al-Fajr ayat 6-8)
Firman  Allah swt telah dapat dibuktikan melalui hasil penemuan arkeologi pada  1992. Clapp yakin bahawa yang kota purba yang ditemui adalah Iram  berdasarkan kepada tapak-tapak tiang yang berbentuk segiempat sama.  Dipercayai bahawa tiang-tiang yang dibina adalah 7 batang kesemuanya.
2. Membina benteng-benteng
Kaum A’ad juga diriwayatkan membina benteng-benteng. Ia diceritakan Allah dalam surah as-Syu’araa’ ayat 128 sehingga 130.
128. Apakah kamu mendirikan pada tiap-tiap tanah tinggi bangunan untuk bermain-main.
129. dan kamu membuat benteng-benteng dengan maksud supaya kamu kekal (di dunia)?
130. Dan apabila kamu menyeksa, maka kamu menyeksa sebagai orang- orang kejam dan bengis.
(Surah as-Syu’araa’ ayat 128-130)
Sepertimana  perihal tiang-tiang yang tinggi yang dibina oleh kaum A’ad, mereka juga  turut membina benteng yang dianggarkan mempunyai tinggi lebih daripada 2  meter. Jika mengikut rekod arkeologi, tiada tamadun sekitar 6,000BC  telah membina tembok atau benteng seperti yang dibina oleh kaum A’ad. Ia  bertepatan dengan apa yang Allah swt bicarakan dalam Surah al-Fajr ayat  8.
3. Terdapat kebun-kebun dan mata air
133. Dia telah menganugerahkan kepadamu binatang-binatang ternak, dan anak-anak,
134. dan kebun-kebun dan mata air,
(Surah as-Syu’araa’ ayat 133-134)
Mengenai  perihal kebun-kebun dan mata air, ia dapat dibukti melalui penemuan  oasis di tengah-tengah kota Iram. Penemuan oasis merupakan titik pertama  sebelum penemuan Kota purba Iram. Mata air merupakan sumber utama  kepada kemajuan kota Iram satu ketika dahulu. Kaum A’ad dikatakan  mencari nafkah dengan mengembala binatang ternak dan juga berdagang.  Oasis milik kaum A’ad masih lagi boleh dilihat sehingga ke hari ini.
4. Dimusnahkan oleh angin kencang
41. Dan juga pada (kisah) Aad ketika Kami kirimkan kepada mereka angin yang membinasakan,
42. angin itu tidak membiarkan satupun yang dilaluinya, melainkan dijadikannya seperti serbuk.
(Surah adz-Dzaariyaat ayat 41-42)
Dalam  ayat Allah dalam surah adz-Dzaariyaat ini, angin kencang telah  membinasa kaum A’ad yang sombong. Angin tersebut telah membinasakan  seluruh masyarakat A’ad yang kufur terhadap Allah swt. Hasil arkeologi  membuktikan bahawa runtuhan kota Iram bagaikan serbuk dan ia bertepatan  benar dengan apa yang dimaksudkan Allah swt dalam ayat 42 surah  adz-Dzaariyaat.
Penutup
Bagi  ahli arkeologi, miskipun runtuhan tersebut sangat dashyat sehingga  sukar untuk dilihat dengan mata kasar, ia bagaimanapun masih lagi  mempunyai nilai yang sangat bermakna kerana dalam sudut yang lebih besar  ia membukti al-Quran merupakan kalam Allah yang penuh mukjizat.
Kota yang dikatakan mustahil  untuk ditemui ini akhir telah ditemui oleh seorang ahli arkeologi bukan  muslim dan sepertimana yang diberitahu sebelum ini, rujukan utama mereka  adalah al-Quran. Pembaca semua, ingatlah ayat Allah azza wa jalla ini,
Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.
(Surah Yusuf ayat 111)
Gambar-Gambar Runtuhan Kota Iram:
![]()  | 
| Sebuah runtuhan oasis | 
![]()  | 
| Di sekitar runtuhan kota Iram. | 
![]()  | 
| Air daripada runtuhan oasis masih lagi boleh digunakan. | 
![]()  | 
| Gambaran penulis mengenai kota Iram | 















Tiada ulasan:
Catat Ulasan